Ahad, 4 Disember 2011

Esei Ilmiah ( FPK )

2.1 Bagaimana pengetahuan dan pengalaman terhadap isi kandungan unit tersebut memberi impak terhadap perkembangan profesionalisme keguruan.

UNIT 2 :

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK) : HURAIAN DAN PENGHAYATAN

PENDAHULUAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualSosial yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.

Berikut adalah teks lengkap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

PENGENALAN

Idea penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dicetuskan pada tahun 1979 setelah penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Kebangsaan. FPK yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah digubal sembilan tahun kemudiannya dicermin berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan berlandaskan ketiga-tiga ideologi negara, iaitu; Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (Rancangan Malaysia Ketiga pada 1976-1980) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1999). Penggubalan FPK oleh pakar-pakar pendidikan digubal secara teliti dan mengambil berat tentang keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

1.0 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

(FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan digambarkan sebagai medium penghasilan produk (anak-anak murid) yang menepati citarasa masyarakat dan hasrat Negara dalam melahirkan rakyat yang tinggi dalam inteleknya serta mulia peradabannya.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan [1]berasal daripada tiga leksikon asas, iaitu falsafah, pendidikan dan kebangsaan. Leksikal “falsafah” berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu;philos dan Sophia. Philos bermakna mencintai manakala Sophia diertikan sebagai kebijaksanaan. Definisi falsafah dilihat daripada tiga penjuru, iaitu; etimologi (bahasa), terminologi (istilah) dan praktikal. Para ahli falsafah mendefinisikan falsafah sebagai satu landasan yang sempurna bagi cetusan dan penjanaan deretan idea baharu dalam variasi bidang dan disiplin ke arah perkembangan manusia.

E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter(1984) mengujarkan falasafah sebagai usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap variasi item. Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya falsafah Pendidikan (1984 ) meletakkan falsafah sebagai pertimbangan asas dan andaian berkenaan pertimbangan terhadap perkara yang penting. Kesimpulannya, falsafah dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas yang dihasilkan menerusi kajian secara saintifik, sistematik, dan diterima umum.

Asal usul leksikal “pendidikan” adalah daripada morfem bebas Latin, educare yang bermaksud “memelihara atau mengasuh”. Definisi pemajmukan leksikal “Falsafah Pendidikan” diertikan oleh Yusuf al-Qardawi (1980) sebagai “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan”. Jelaslah bahawa falsafah pendidikan bertindak sebagai medium pembentukan insan yang mulia memandangkan falsafah melibatkan dua cakuman utama, iaitu teologi dan sains (Russel, 1946).

“Kebangsaan” secara generalnya diertikan sebagai sesuatu yang universal, dan ditimbalbalikkan dengan negara secara keseluruhannya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk keempat-empat cabang falsafah, yakni metafizik/ontologi (teori kejadian), aksiologi (teori nilai), epistomologi (teori ilmu) dan logik.

Kajian definisi dan kelompok rujukan cabang berkenaan menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi rujukan para guru dalam merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada negara Malaysia yang rancak membangun. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidikan.

2.0 MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)

FPK menggariskan kesemua leksikon, pemikiran dan prinsip berkaitan bidang pendidikan di Malaysia. Panduan peraturan ini menggabungkan matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan sebagai satu entiti keseluruhan yang tekal (tidak bersifat nisbi atau berubah-ubah), jelas dan logik. Misalnya, “...ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi...”. Gabungan kesemua item tersebut berkemampuan menghasilkan masyarakat yang dihasratkan oleh negara Malaysia.

Kedua, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan norma-norma kedinamikan pendidikan terkini secara rasional serta membimbing tindakan dan tren pendidikan masa depan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982). Misalnya, barisan sintaksis “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usahaberterusan ke arah...”. Perkataan “berterusan” menunjukkan bahawa sistem pendidikan tidak terhenti sebegitu sahaja, malahan berlangsung secara tekal dan dapat membuktikan kedinamikan pendidikan berdasarkan keperluan individu, masyarakat dan negara dari semasa ke semasa.

Ketiga, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua rancangan dalam bidang pendidikan. Misalnya, “...bertujuanmelahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, ...”. Barisan morfem bebas inilah yang bertindak sebagai penentuan kurikulum, ko-kurikulum dan citra guru yang diharap-harapkan. Variasi usaha pendidikan yang sedia ada, direformasi secara mudah dan dilaksanakan ke arah mencapai Matlamat Pendidikan Negara dengan merujuk FPK tersebut.

Keempat,F alsafah Fendidikan Kebangsaan bertindak sebagai medium perealisasian misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM); iaitu membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia dan memenuhi aspirasi negara kita. FPK menjadi rujukan para guru, para penggubal kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah, lanjutan penghasilan falsafah baharu umpamanya Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang menghasratkan ciri-ciri guru yang dihasratkan dan sebagainya.

3.0 FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN

KEBANGSAAN (FPK)

3.1 Pengenalan

Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk variasi faktor yang perlu dipertimbang memandangkan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang majmuk bangsanya. Satu keselarasan entiti perlu dirancang secara teliti oleh pakar-pakar pendidikan agar tidak muncul perbalahan dan kekangan yang muncul di kemudian hari.

3.2 Faktor-faktor penyumbang kepada pembentukan Falsafah Pendidikan

Kebangsaan (FPK)

Faktor pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada enam faktor; iaitu agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Terminologi syumul berkenaan keenam- enam faktor tersebut dipaparkan jalinannya seperti berikut;

Pertama ialah faktor agama yang dianuti oleh para manusia di Malaysia. Agama Islam diklasifikasi sebagai agama rasmi di negara ini. Deretan kepercayaan lain dianuti secara bebas berdasarkan akta dan undang-undang negara. Agama Islam menjadi rujukan kepada pertimbangan asas dalam FPK. Unsur agama tersebut dapat dihayati di dalam pernyataan “...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...”.

Kedua ialah faktor sosial yang meliputi hierarki dan struktur masyarakat setempat serta kebudayaannya. Keharmonian masyarakat sekeliling bergantung kepada variasi amalan mahmudah (mulia) umpamanya toleransi, bekerjasama, hormat menghormati dan sebagainya demi penghasilan keadaaan sosial yang stabil. Tujuan ini jelas terpancar di dalam pernyataan falsafah berkenaan, iaitu “...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Ketiga, ialah faktor politik yang menentukan ideologi negara lantas mempengaruhi dasar pendidikan. Matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi asas pembentukan FPK yang berlandaskan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Keempat, ialah faktor ekonomi yang mempengaruhi pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia terlatih dalam variasi kemahiran yang dapat membantu negara memperkembang ekonomi menerusi peningkatan daya pengeluarannya. Maka, sekolah teknik dan vokasional turut diwujudkan demi penghasilan masyarakat yang beridentiti tinggi seiring pembangunan negara. Kenyataan ini dijelaskan secara luaran tetapi mendukung hasrat yang tinggi, iaitu “...memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara”.

Kelima, ialah faktor individu yang dikaitkan dengan keperluan-keperluan individual seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri. Potensi individu diperkembang menerusi pendidikan yang meliputi aspek-aspek J-E-R-I (jasmani, emosi, rohani dan intelek). Pernyataan ini jelas terpampang di dalam ayat pertama FPK . Keenam, ialah faktor sejagat yang menitik berat pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa. Pengenalan idea-idea pendidikan tika seminar pendidikan antarabangsa turut mempengaruhi falsafah pendidikan di negara ini. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO yang dirancang pada tahun 1980 telah dimanifestasikan dalam pernyataan FPK sebagai “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan...”

4.0 IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK) TERHADAP

PROFESIONALISME KEGURUAN DI MALAYSIA

Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumentasi rasmi yang mencerminkan sistem pendidikan negara Malaysia. Para guru perlulah berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan tika menggalaskan tanggungjawab profesional mereka agar matlamat pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Ini memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik demi merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyumbang implikasi terhadap sistem pendidikan negara ini; umpamanya kurikulum, pendidik dan institusi pendidikan yang merujuk perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam (ilmu sains) dan manusia dengan Tuhan (ilmu teologi). Falsafah ini menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara di Malaysia. Maka, semua perancangan dan aktiviti pendidikan dalam profesionalisme keguruan memancarkan pancaran nilai dan barisan prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Implikasi Terhadap Kurikulum.
Kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang.

Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilai-nilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi pula diserapkan bagi membawa Malaysia kea rah yang maju dan tidak ketinggalan.

Implikasi Terhadap Pendidik.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Ia boleh diperolehi di mana-mana dan bila-bila diperlukan. Guru boleh menjadi ejen perubahan untuk mendidik dan mengeluarkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.

Guru mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam ICT untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem pendidikan yang berteraskan teknologi. Guru juga mempunyai sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjadi guru yang baik, sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Ini bermakna,guru perlu memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.
Implikasi Terhadap Institusi Pendidikan.
Institusi pendidikan juga mengalami perubahan demi untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Kemudahan-kemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk merperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani. Ini adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang.

Budaya di sekolah juga diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya supaya saling bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. Ini adalah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka.

Kesimpulannya, implikasi-implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mempunyai satu matlamat dan tujuan dan ia dinyatakan dalam bentuk falsafah iaitu:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

2.2 Cabaran-cabaran dalam mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman tentang isi kandungan unit pelajaran

CABARAN GURU DALAM MENGAPLIKASIKAN PENGETAHUAN DAN PENGALAMANNYA DEMI MEMENUHI TUNTUTAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumentasi rasmi yang mencerminkan sistem pendidikan negara Malaysia. Para guru perlulah berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru tika menggalaskan tanggungjawab profesional mereka agar matlamat pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Ini memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik demi merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya.Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyumbang cabaran-cabaran tertentu terhadap sistem pendidikan negara ini, umpamanya kurikulum, pendidik dan institusi pendidikan yang merujuk perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam (ilmusains) dan manusia dengan Tuhan (ilmu teologi). Segala cabaran perlu di hadapi bagi mematangkan para guru dalam memartabatkan profesion keguruan dan melahirkan anak didik yang seimbang di dunia dan akhirat.Berikut adalah beberapa cabaran guru dalam mengaplikasikan dan menterjemahkan matlamat falsafah dalam dunia anak-anak didik di sekolah ;

2.2.1 Cabaran pertama :

Pelaksanaan Kurikulum Dan Kokurikulum Yang Dapat Berjaya Memperkembang Potensi Pelajar Dari Aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek Dan Sosial Secara Keseluruhan Dan Bersepadu.Salah satu strategi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pembangunan insan iaitu memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Salah satu perkara yang diberi penekanan dalam strategi pembangunan insan pula ialah penyediaan kurikulum yang relevan dengan mengubahsuai kandungannya mengikut keperluan semasa kini.Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), kurikulum ditakrifkan sebagai segala rancangan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah ataupun sesebuah institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan .

Oleh itu, guru haruslah terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum, struktur dan organisasi kurikulum serta sukatan pelajarannya untuk memastikan suatu kurikulum dapat dilaksanakan dengan jayanya. Inilah cabaran guru dalam mendalami pengetahuan berkaitan dengan tajuk, di mana guru perlu mengaitkan dengan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling pelajarnya. Seorang pelajar berhak mendapatkan ilmu yang benar dari guru mereka di sekolah. Dalam pendidkan alaf baru ini, pelajar banyak terdedah kepada unsur-unsur negatif dalam persekitaran mereka di rumah mahu pun dalam komuniti masyarakat setempat.Oleh itu, guru harus mencari jalan penyelesaian yang terbaik melalui pertimbangan akal yang munasabah.

Guru juga harus peka dengan aktiviti kokurikulum di sekolah, sejauh mana anak didik diberi pendedahan yang terkini dalam perubahan perjalanan aktiviti persatuan, kelab, uniform mahu pun permainan. Ini semua memerlukan pengorbanan seorang insan bernama guru dalam memenuhi tuntutan aktiviti yang kadang-kadang terpaksa bermalam di sekolah jika program perkhemahan yang telah dirancang perlu dilaksanakan. Umum mengetahui selain tanggungjawab terhadap profesion keguruan, guru juga punyai tanggungjawab sebagai anak, ibu bapa dan sebagainya dalam kehidupan seharian yang perlu juga dilaksanakan.

2.2.2 Cabaran kedua :

Persediaan Guru Menghadapi Gelombang Teknologi Instruksional Pada Masa

Depan.

Berdasarkan isu yang kedua iaitu penggunaan teknologi instruksional pada masa depan ini maka tiga andaian dapat buat, pertama pada masa depan kemahiran guru lebih kepada rekabentuk teknologi instruksional berbanding pedagogi, kedua guru mesti bersedia mempunyai kemahiran menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran teknologi instruksional yang berunsurkan permainan atau “games” dan yang ketiga pada masa depan bahagian penyelidikan dan pembangunan teknologi instruksional menjadi lebih utama berbanding bahagian peperiksaan. Jelasnya di sini persediaan guru menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan akan bersandar kepada tiga andaian ini.

Bagi menghadapi gelombang ini maka sangat perlu di maktab-maktab perguruan atau di universiti-universiti menyediakan kurikulum yang dapat melahirkan golongan pendidik berkemahiran dalam rekabentuk instruksional. Kemahiran bakal guru-guru ini dalam bidang rekabentuk instruksional hendaklah juga meliputi kemahiran seperti menghasilkan bahan grafik, animasi dan mahir dalam bahasa pengaturcaraan komputer supaya dapat menggabungkan elemen grafik, animasi dan bahasa pengaturcaraan menjadi permainan atau simulasi yang menarik. Sudah pastinya jika mahu bersedia menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan, adalah sangat perlu kurikulum bagi melahirkan guru-guru pada masa depan lebih mengutamakan ilmu teknologi instruksional berbanding pedagogi. Lebih tepat lagi revolusi ke atas perubahan kurikulum bagi menghasilkan guru-guru ini perlu dilakukan sekarang.

2.2.3 Cabaran ketiga :

Ketersediaan Guru Mengahadapi Dasar Inovasi Pendidikan

Cabaran ini berkaitan dengan ketersediaan para pendidik menghadapi reformasi pendidikan. Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya. Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif.

Satu agenda dalam program pendidikan kini sebagai persediaan abad ke-21, ialah Sekolah Bestari. Pelaksanaan Sekolah Bestari turut mewujudkan transformasi dalam sistem pendidikan yang meliputi aspek kurikulum, sistem penilaian, pentadbiran, pengurusan pembelajaran. Implikasi kepada reformasi ini, memerlukan persediaan guru. Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Nordin, memberi ciri-ciri guru
bestari ialah guru-guru yang boleh dan bijaksana mengimbang keperluan Wawasan Pendidikan dengan tuntutan dan cabaran semasa. " Pendidikan Bestari antara lain menginginkan guru yang berketrampilan. Tingkat ketrampilannya bukan sekadar mengguna dan menguruskan teknologi, tetapi lebih penting berkeupayaan menyaring, mengadun, mengacuan setiap perkara seiring dengan tingkat ketahanan anak bangsa, sejajar dengan budaya halus masyarakat kita dan seterusnya menyumbang untuk terus memperkukuh asas kewujudan kita." (1997)

Merujuk kepada cabaran besar di atas, sebagai pendidk yang mempunyai tanggungjawab melaksanakan peranan secara komited dan ikhlas dalam menyusun, dan mensepadukan ilmu dengan perkembangan semasa, seperti cabaran dalam teknologi dan perkomputeran dimana para pendidik seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian.Guru juga haruslah mempunyai kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif , ini bermakna pelajar-pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.

2.2.4 Cabaran keempat :

Pelaksanaan Pengurusan Dan Pentadbiran Dengan Penyelenggaraan Prasarana Supaya Kemudahan Atau Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran Dapat Digunakan Secara Licin Dan Optimum , Serta Dalam Keadaan Baik Dan Selamat.

Di dalam salah satu strategi untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pembangunan insan, perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dengan menyediakan kemudahan dan sumber pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar-pelajar dapat peluang untuk mengembangkan potensi mereka dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek secara menyeluruh dan seimbang.Sebagai contohnya, system teknologi yang canggih seperti ICT telah diperkenalkan bagi penyediaan sistem penyampaian yang berkesan. Manakala penyediaan bahan-bahan rujukan, bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan agar aktiviti dapat dijalankan dengan lebih berkesan, seronok dan bermakna.

Organisasi sumber pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting untuk aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah.Sekiranya sumber pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat diorganisasikan dengan baik, teratur dan sistematik, keberkesanan interaksi murid dengan bahan serta aktiviti pembelajaran dapat dipertingkatkan.

Oleh itu, untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan cabaran seorang guru itu dilihat melalui peranannya dalam melaksanakan pembelajaran sebagai pengurus. Antara tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah ; mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun kerusi-meja, mengurus murid-murid supaya mematuhi segala peraturan bilik darjah ; mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran ;dan mengurus bahan-bahan pengajarn supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan.

Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik serta keadaan bilik darjah yang kondusif dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Justeru dengan itu, untuk menjadi pengurus yang berkesan adalah menjadi cabaran bagi guru dalam mengetahui dan memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha untuk menguasai kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan bilik dengan baik.

Cabaran kelima :

Pelaksanaan Perhubungan Dengan Masyarakat Dengan Mewujudkan Perkongsian Pintar ( smart partnership) Di Antara Sekolah Dengan Masyarakat Supaya Melahirkan Semangat Kerjasama Demi Dapat Membantu Pembangunan Sekolah, Baik Dalam Sumber Kewangan Mahupun Tenaga Yang Diperlukan

Mengikut Yang Berbahagia Dato Haji Abdullah Rafie bin Mahat, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “ Pengukuhan dan Peningkatan Kualiti Pendidikan dan Profesionalime Keguruan “ menyatakan :

“ Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan mantap dan akrab kerana kejayaan sistem negara bergantung kepada sejauh mana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi , saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain”.

Saranan Ketua Pengarah itu amat jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi pendidikan tidak boleh wujud sendirian. Hubungan tiga dimensi yang disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah sistem pendidikan masa kini.

[ Epstein, 1995] Jika para pendidik melihat murid-murid mereka sebagai anak, mereka cenderung untuk melihat keluarga dan komuniti sebagai rakan kongsi dengan sekolah dalam perkembangan dan pendidikan kanak-kanak. Rakan kongsi mengenalpasti minat dan tanggungjawab yang sama terhadap kanak-kanak, dan mereka bekerjasama untuk mewujudkan program serta peluang yang lebih baik kepada murid-murid ini. Apabila ibu bapa, guru-guru, pelajar dan masyarakat lain melihat di antara satu sama lain sebagai rakan kongsi di dalam pendidikan, wujud suatu komuniti yang mengambil berat.

Oleh itu, adalah menjadi cabaran bagi guru untuk melaksanakan perhubungan dengan masyarakat dengan mewujudkan perkongsian pintar ( smart partnership) di antara sekolah dengan masyarakat supaya melahirkan semangat kerjasama demi dapat membantu pembangunan sekolah, baik dalam sumber kewangan mahu pun tenaga yang diperlukan.

Sebagai seorang pendidik, guru perlu mewujudkan hubungan komunikasi yang baik dengan ibu bapa.Guru mestilah menghormati ibu bapa kepada murid-muridnya serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara insitusi pendidikan dengan rumah tangga tanpa mengira kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Guru juga perlu membina kepercayaan ibu bapa terhadap para guru dengan tidak memberikan maklumat keadaan keluarga atau murid ( yang diberikan oleh ibu bapa) kepada yang tidak berhak.

Selain itu, guru juga perlu menghormati masyarakat setempat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Masyarakat terutamanya ibu bapa pelajar, sepatutnya dijemput untuk menyertai sebarang aktiviti-aktiviti sekolah supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khasnya ibu bapa mengenai peranan mereka dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

KESIMPULAN

Dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia guru serta setiap lapisan masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan Negara

2.1 Bagaimana pengetahuan dan pengalaman terhadap isi kandungan unit tersebut memberi impak terhadap perkembangan profesionalisme keguruan.

UNIT 2 :

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK) : HURAIAN DAN PENGHAYATAN

PENDAHULUAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualSosial yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.

Berikut adalah teks lengkap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

PENGENALAN

Idea penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dicetuskan pada tahun 1979 setelah penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Kebangsaan. FPK yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah digubal sembilan tahun kemudiannya dicermin berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan berlandaskan ketiga-tiga ideologi negara, iaitu; Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (Rancangan Malaysia Ketiga pada 1976-1980) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1999). Penggubalan FPK oleh pakar-pakar pendidikan digubal secara teliti dan mengambil berat tentang keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

1.0 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan digambarkan sebagai medium penghasilan produk (anak-anak murid) yang menepati citarasa masyarakat dan hasrat Negara dalam melahirkan rakyat yang tinggi dalam inteleknya serta mulia peradabannya.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan [1]berasal daripada tiga leksikon asas, iaitu falsafah, pendidikan dan kebangsaan. Leksikal “falsafah” berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu;philos dan Sophia. Philos bermakna mencintai manakala Sophia diertikan sebagai kebijaksanaan. Definisi falsafah dilihat daripada tiga penjuru, iaitu; etimologi (bahasa), terminologi (istilah) dan praktikal. Para ahli falsafah mendefinisikan falsafah sebagai satu landasan yang sempurna bagi cetusan dan penjanaan deretan idea baharu dalam variasi bidang dan disiplin ke arah perkembangan manusia.

E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter(1984) mengujarkan falasafah sebagai usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap variasi item. Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya falsafah Pendidikan (1984 ) meletakkan falsafah sebagai pertimbangan asas dan andaian berkenaan pertimbangan terhadap perkara yang penting. Kesimpulannya, falsafah dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas yang dihasilkan menerusi kajian secara saintifik, sistematik, dan diterima umum.

Asal usul leksikal “pendidikan” adalah daripada morfem bebas Latin, educare yang bermaksud “memelihara atau mengasuh”. Definisi pemajmukan leksikal “Falsafah Pendidikan” diertikan oleh Yusuf al-Qardawi (1980) sebagai “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan”. Jelaslah bahawa falsafah pendidikan bertindak sebagai medium pembentukan insan yang mulia memandangkan falsafah melibatkan dua cakuman utama, iaitu teologi dan sains (Russel, 1946).

“Kebangsaan” secara generalnya diertikan sebagai sesuatu yang universal, dan ditimbalbalikkan dengan negara secara keseluruhannya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk keempat-empat cabang falsafah, yakni metafizik/ontologi (teori kejadian), aksiologi (teori nilai), epistomologi (teori ilmu) dan logik.

Kajian definisi dan kelompok rujukan cabang berkenaan menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi rujukan para guru dalam merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada negara Malaysia yang rancak membangun. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidikan.

2.0 MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)

FPK menggariskan kesemua leksikon, pemikiran dan prinsip berkaitan bidang pendidikan di Malaysia. Panduan peraturan ini menggabungkan matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan sebagai satu entiti keseluruhan yang tekal (tidak bersifat nisbi atau berubah-ubah), jelas dan logik. Misalnya, “...ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi...”. Gabungan kesemua item tersebut berkemampuan menghasilkan masyarakat yang dihasratkan oleh negara Malaysia.

Kedua, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan norma-norma kedinamikan pendidikan terkini secara rasional serta membimbing tindakan dan tren pendidikan masa depan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982). Misalnya, barisan sintaksis “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usahaberterusan ke arah...”. Perkataan “berterusan” menunjukkan bahawa sistem pendidikan tidak terhenti sebegitu sahaja, malahan berlangsung secara tekal dan dapat membuktikan kedinamikan pendidikan berdasarkan keperluan individu, masyarakat dan negara dari semasa ke semasa.

Ketiga, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua rancangan dalam bidang pendidikan. Misalnya, “...bertujuanmelahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, ...”. Barisan morfem bebas inilah yang bertindak sebagai penentuan kurikulum, ko-kurikulum dan citra guru yang diharap-harapkan. Variasi usaha pendidikan yang sedia ada, direformasi secara mudah dan dilaksanakan ke arah mencapai Matlamat Pendidikan Negara dengan merujuk FPK tersebut.

Keempat,F alsafah Fendidikan Kebangsaan bertindak sebagai medium perealisasian misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM); iaitu membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia dan memenuhi aspirasi negara kita. FPK menjadi rujukan para guru, para penggubal kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah, lanjutan penghasilan falsafah baharu umpamanya Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang menghasratkan ciri-ciri guru yang dihasratkan dan sebagainya.

3.0 FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN

KEBANGSAAN (FPK)

3.1 Pengenalan

Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk variasi faktor yang perlu dipertimbang memandangkan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang majmuk bangsanya. Satu keselarasan entiti perlu dirancang secara teliti oleh pakar-pakar pendidikan agar tidak muncul perbalahan dan kekangan yang muncul di kemudian hari.

3.2 Faktor-faktor penyumbang kepada pembentukan Falsafah Pendidikan

Kebangsaan (FPK)

Faktor pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terdiri daripada enam faktor; iaitu agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Terminologi syumul berkenaan keenam- enam faktor tersebut dipaparkan jalinannya seperti berikut;

Pertama ialah faktor agama yang dianuti oleh para manusia di Malaysia. Agama Islam diklasifikasi sebagai agama rasmi di negara ini. Deretan kepercayaan lain dianuti secara bebas berdasarkan akta dan undang-undang negara. Agama Islam menjadi rujukan kepada pertimbangan asas dalam FPK. Unsur agama tersebut dapat dihayati di dalam pernyataan “...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...”.

Kedua ialah faktor sosial yang meliputi hierarki dan struktur masyarakat setempat serta kebudayaannya. Keharmonian masyarakat sekeliling bergantung kepada variasi amalan mahmudah (mulia) umpamanya toleransi, bekerjasama, hormat menghormati dan sebagainya demi penghasilan keadaaan sosial yang stabil. Tujuan ini jelas terpancar di dalam pernyataan falsafah berkenaan, iaitu “...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Ketiga, ialah faktor politik yang menentukan ideologi negara lantas mempengaruhi dasar pendidikan. Matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi asas pembentukan FPK yang berlandaskan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Keempat, ialah faktor ekonomi yang mempengaruhi pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia terlatih dalam variasi kemahiran yang dapat membantu negara memperkembang ekonomi menerusi peningkatan daya pengeluarannya. Maka, sekolah teknik dan vokasional turut diwujudkan demi penghasilan masyarakat yang beridentiti tinggi seiring pembangunan negara. Kenyataan ini dijelaskan secara luaran tetapi mendukung hasrat yang tinggi, iaitu “...memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara”.

Kelima, ialah faktor individu yang dikaitkan dengan keperluan-keperluan individual seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri. Potensi individu diperkembang menerusi pendidikan yang meliputi aspek-aspek J-E-R-I (jasmani, emosi, rohani dan intelek). Pernyataan ini jelas terpampang di dalam ayat pertama FPK . Keenam, ialah faktor sejagat yang menitik berat pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa. Pengenalan idea-idea pendidikan tika seminar pendidikan antarabangsa turut mempengaruhi falsafah pendidikan di negara ini. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO yang dirancang pada tahun 1980 telah dimanifestasikan dalam pernyataan FPK sebagai “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan...”

4.0 IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK) TERHADAP

PROFESIONALISME KEGURUAN DI MALAYSIA

Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumentasi rasmi yang mencerminkan sistem pendidikan negara Malaysia. Para guru perlulah berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan tika menggalaskan tanggungjawab profesional mereka agar matlamat pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Ini memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik demi merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya.

Flsafah Pebangsaan Kebangsaan menyumbang implikasi terhadap sistem pendidikan negara ini; umpamanya kurikulum, pendidik dan institusi pendidikan yang merujuk perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam (ilmu sains) dan manusia dengan Tuhan (ilmu teologi). Falsafah ini menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara di Malaysia. Maka, semua perancangan dan aktiviti pendidikan dalam profesionalisme keguruan memancarkan pancaran nilai dan barisan prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Implikasi Terhadap Kurikulum.
Kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang.

Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilai-nilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi pula diserapkan bagi membawa Malaysia kea rah yang maju dan tidak ketinggalan.

Implikasi Terhadap Pendidik.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Ia boleh diperolehi di mana-mana dan bila-bila diperlukan. Guru boleh menjadi ejen perubahan untuk mendidik dan mengeluarkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.

Guru mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam ICT untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem pendidikan yang berteraskan teknologi. Guru juga mempunyai sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjadi guru yang baik, sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Ini bermakna,guru perlu memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.
Implikasi Terhadap Institusi Pendidikan.
Institusi pendidikan juga mengalami perubahan demi untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Kemudahan-kemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk merperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani. Ini adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang.

Budaya di sekolah juga diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya supaya saling bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. Ini adalah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka.

Kesimpulannya, implikasi-implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mempunyai satu matlamat dan tujuan dan ia dinyatakan dalam bentuk falsafah iaitu:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

2.2 Cabaran-cabaran dalam mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman tentang isi kandungan unit pelajaran

CABARAN GURU DALAM MENGAPLIKASIKAN PENGETAHUAN DAN PENGALAMANNYA DEMI MEMENUHI TUNTUTAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumentasi rasmi yang mencerminkan sistem pendidikan negara Malaysia. Para guru perlulah berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru tika menggalaskan tanggungjawab profesional mereka agar matlamat pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Ini memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik demi merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya.Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyumbang cabaran-cabaran tertentu terhadap sistem pendidikan negara ini, umpamanya kurikulum, pendidik dan institusi pendidikan yang merujuk perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam (ilmusains) dan manusia dengan Tuhan (ilmu teologi). Segala cabaran perlu di hadapi bagi mematangkan para guru dalam memartabatkan profesion keguruan dan melahirkan anak didik yang seimbang di dunia dan akhirat.Berikut adalah beberapa cabaran guru dalam mengaplikasikan dan menterjemahkan matlamat falsafah dalam dunia anak-anak didik di sekolah ;

2.2.1 Cabaran pertama :

Pelaksanaan Kurikulum Dan Kokurikulum Yang Dapat Berjaya Memperkembang Potensi Pelajar Dari Aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek Dan Sosial Secara Keseluruhan Dan Bersepadu.

Salah satu strategi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pembangunan insan iaitu memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Salah satu perkara yang diberi penekanan dalam strategi pembangunan insan pula ialah penyediaan kurikulum yang relevan dengan mengubahsuai kandungannya mengikut keperluan semasa kini.Dalam buku Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), kurikulum ditakrifkan sebagai segala rancangan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah ataupun sesebuah institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan .

Oleh itu, guru haruslah terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum, struktur dan organisasi kurikulum serta sukatan pelajarannya untuk memastikan suatu kurikulum dapat dilaksanakan dengan jayanya. Inilah cabaran guru dalam mendalami pengetahuan berkaitan dengan tajuk, di mana guru perlu mengaitkan dengan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling pelajarnya. Seorang pelajar berhak mendapatkan ilmu yang benar dari guru mereka di sekolah. Dalam pendidkan alaf baru ini, pelajar banyak terdedah kepada unsur-unsur negatif dalam persekitaran mereka di rumah mahu pun dalam komuniti masyarakat setempat.Oleh itu, guru harus mencari jalan penyelesaian yang terbaik melalui pertimbangan akal yang munasabah.

Guru juga harus peka dengan aktiviti kokurikulum di sekolah, sejauh mana anak didik diberi pendedahan yang terkini dalam perubahan perjalanan aktiviti persatuan, kelab, uniform mahu pun permainan. Ini semua memerlukan pengorbanan seorang insan bernama guru dalam memenuhi tuntutan aktiviti yang kadang-kadang terpaksa bermalam di sekolah jika program perkhemahan yang telah dirancang perlu dilaksanakan. Umum mengetahui selain tanggungjawab terhadap profesion keguruan, guru juga punyai tanggungjawab sebagai anak, ibu bapa dan sebagainya dalam kehidupan seharian yang perlu juga dilaksanakan.

2.2.2 Cabaran kedua :

Persediaan Guru Menghadapi Gelombang Teknologi Instruksional Pada Masa Depan.

Berdasarkan isu yang kedua iaitu penggunaan teknologi instruksional pada masa depan ini maka tiga andaian dapat buat, pertama pada masa depan kemahiran guru lebih kepada rekabentuk teknologi instruksional berbanding pedagogi, kedua guru mesti bersedia mempunyai kemahiran menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran teknologi instruksional yang berunsurkan permainan atau “games” dan yang ketiga pada masa depan bahagian penyelidikan dan pembangunan teknologi instruksional menjadi lebih utama berbanding bahagian peperiksaan. Jelasnya di sini persediaan guru menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan akan bersandar kepada tiga andaian ini.

Bagi menghadapi gelombang ini maka sangat perlu di maktab-maktab perguruan atau di universiti-universiti menyediakan kurikulum yang dapat melahirkan golongan pendidik berkemahiran dalam rekabentuk instruksional. Kemahiran bakal guru-guru ini dalam bidang rekabentuk instruksional hendaklah juga meliputi kemahiran seperti menghasilkan bahan grafik, animasi dan mahir dalam bahasa pengaturcaraan komputer supaya dapat menggabungkan elemen grafik, animasi dan bahasa pengaturcaraan menjadi permainan atau simulasi yang menarik. Sudah pastinya jika mahu bersedia menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan, adalah sangat perlu kurikulum bagi melahirkan guru-guru pada masa depan lebih mengutamakan ilmu teknologi instruksional berbanding pedagogi. Lebih tepat lagi revolusi ke atas perubahan kurikulum bagi menghasilkan guru-guru ini perlu dilakukan sekarang.

2.2.3 Cabaran ketiga :

Ketersediaan Guru Mengahadapi Dasar Inovasi Pendidikan

Cabaran ini berkaitan dengan ketersediaan para pendidik menghadapi reformasi pendidikan. Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya. Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif.

Satu agenda dalam program pendidikan kini sebagai persediaan abad ke-21, ialah Sekolah Bestari. Pelaksanaan Sekolah Bestari turut mewujudkan transformasi dalam sistem pendidikan yang meliputi aspek kurikulum, sistem penilaian, pentadbiran, pengurusan pembelajaran. Implikasi kepada reformasi ini, memerlukan persediaan guru. Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Nordin, memberi ciri-ciri guru
bestari ialah guru-guru yang boleh dan bijaksana mengimbang keperluan Wawasan Pendidikan dengan tuntutan dan cabaran semasa. " Pendidikan Bestari antara lain menginginkan guru yang berketrampilan. Tingkat ketrampilannya bukan sekadar mengguna dan menguruskan teknologi, tetapi lebih penting berkeupayaan menyaring, mengadun, mengacuan setiap perkara seiring dengan tingkat ketahanan anak bangsa, sejajar dengan budaya halus masyarakat kita dan seterusnya menyumbang untuk terus memperkukuh asas kewujudan kita." (1997)

Merujuk kepada cabaran besar di atas, sebagai pendidk yang mempunyai tanggungjawab melaksanakan peranan secara komited dan ikhlas dalam menyusun, dan mensepadukan ilmu dengan perkembangan semasa, seperti cabaran dalam teknologi dan perkomputeran dimana para pendidik seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian.Guru juga haruslah mempunyai kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif , ini bermakna pelajar-pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.

2.2.4 Cabaran keempat :

Pelaksanaan Pengurusan Dan Pentadbiran Dengan Penyelenggaraan Prasarana Supaya Kemudahan Atau Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran Dapat Digunakan Secara Licin Dan Optimum , Serta Dalam Keadaan Baik Dan Selamat.

Di dalam salah satu strategi untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pembangunan insan, perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dengan menyediakan kemudahan dan sumber pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar-pelajar dapat peluang untuk mengembangkan potensi mereka dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek secara menyeluruh dan seimbang.Sebagai contohnya, system teknologi yang canggih seperti ICT telah diperkenalkan bagi penyediaan sistem penyampaian yang berkesan. Manakala penyediaan bahan-bahan rujukan, bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan agar aktiviti dapat dijalankan dengan lebih berkesan, seronok dan bermakna.

Organisasi sumber pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting untuk aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah.Sekiranya sumber pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat diorganisasikan dengan baik, teratur dan sistematik, keberkesanan interaksi murid dengan bahan serta aktiviti pembelajaran dapat dipertingkatkan.

Oleh itu, untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan cabaran seorang guru itu dilihat melalui peranannya dalam melaksanakan pembelajaran sebagai pengurus. Antara tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah ; mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun kerusi-meja, mengurus murid-murid supaya mematuhi segala peraturan bilik darjah ; mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran ;dan mengurus bahan-bahan pengajarn supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan.

Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik serta keadaan bilik darjah yang kondusif dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Justeru dengan itu, untuk menjadi pengurus yang berkesan adalah menjadi cabaran bagi guru dalam mengetahui dan memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha untuk menguasai kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan bilik dengan baik.

Cabaran kelima :

Pelaksanaan Perhubungan Dengan Masyarakat Dengan Mewujudkan Perkongsian Pintar ( smart partnership) Di Antara Sekolah Dengan Masyarakat Supaya Melahirkan Semangat Kerjasama Demi Dapat Membantu Pembangunan Sekolah, Baik Dalam Sumber Kewangan Mahupun Tenaga Yang Diperlukan
Mengikut Yang Berbahagia Dato Haji Abdullah Rafie bin Mahat, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “ Pengukuhan dan Peningkatan Kualiti Pendidikan dan Profesionalime Keguruan “ menyatakan :

“ Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan mantap dan akrab kerana kejayaan sistem negara bergantung kepada sejauh mana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi , saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain”.

Saranan Ketua Pengarah itu amat jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi pendidikan tidak boleh wujud sendirian. Hubungan tiga dimensi yang disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah sistem pendidikan masa kini.

[ Epstein, 1995] Jika para pendidik melihat murid-murid mereka sebagai anak, mereka cenderung untuk melihat keluarga dan komuniti sebagai rakan kongsi dengan sekolah dalam perkembangan dan pendidikan kanak-kanak. Rakan kongsi mengenalpasti minat dan tanggungjawab yang sama terhadap kanak-kanak, dan mereka bekerjasama untuk mewujudkan program serta peluang yang lebih baik kepada murid-murid ini. Apabila ibu bapa, guru-guru, pelajar dan masyarakat lain melihat di antara satu sama lain sebagai rakan kongsi di dalam pendidikan, wujud suatu komuniti yang mengambil berat.

Oleh itu, adalah menjadi cabaran bagi guru untuk melaksanakan perhubungan dengan masyarakat dengan mewujudkan perkongsian pintar ( smart partnership) di antara sekolah dengan masyarakat supaya melahirkan semangat kerjasama demi dapat membantu pembangunan sekolah, baik dalam sumber kewangan mahu pun tenaga yang diperlukan.

Sebagai seorang pendidik, guru perlu mewujudkan hubungan komunikasi yang baik dengan ibu bapa.Guru mestilah menghormati ibu bapa kepada murid-muridnya serta berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara insitusi pendidikan dengan rumah tangga tanpa mengira kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Guru juga perlu membina kepercayaan ibu bapa terhadap para guru dengan tidak memberikan maklumat keadaan keluarga atau murid ( yang diberikan oleh ibu bapa) kepada yang tidak berhak.

Selain itu, guru juga perlu menghormati masyarakat setempat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Masyarakat terutamanya ibu bapa pelajar, sepatutnya dijemput untuk menyertai sebarang aktiviti-aktiviti sekolah supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khasnya ibu bapa mengenai peranan mereka dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

KESIMPULAN

Dalam menuju ke arah pendidikan bertaraf dunia guru serta setiap lapisan masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan Negara

BIBLIOGRAFI

1. Abdul Rahman Haji Abdullah. (2005). Wacana falsafah ilmu : analisis konsep-konsep dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur. Utusan Publication& Distributors Sdn Bhd

2. Sharifah Alawiyah Alsagoff. (1985). Falsafah pendidikan. Kuala Lumpur: Heinemann

3. Sufean Hussin. (2004). Pendidikan di Malaysia Sejarah,Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

4. http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan

5. http://www.scribd.com/doc/25839080/Guru-Masa-Kini-Perlu-Berganjak-Untuk-Menghadapi-Cabaran-Era-Teknologi-Yang-Semakin-Berkembang-Maju-Dengan-Pelbagai-Inovasi-Dan-Ciptaan-Baru-Dalam-Bida

[1] http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan